Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, pada awal Ogos 2019 yang lepas, saya dan rakan-rakan guru Matematik telah berpeluang mengikuti Bengkel Pembelajaran Matematik Secara Inkuiri (PMSI) anjuran Pusat STEM Negara. Bengkel PMSI ini adalah melibatkan guru-guru yang dipilih oleh Pusat STEM Negara dari zon utara (Kedah, Perlis dan Pulau Pinang). Bengkel ini diadakan di The Jerai Hotel, Sungai Petani, Kedah. Tetapi perkongsian pada kali ini adalah berkenaan dengan konsep STEM.
Pengenalan Kepada STEM
Kami peserta bengkel sangat bertuah kerana Pengarah Pusat STEM Negara, Dr. Ihsan Ismail turun ke utara bagi merasmikan Bengkel PMSI Zon Utara serta berkongsi input dengan kami tentang bidang STEM. Apakah itu STEM?
Berdasarkan infografik di atas, STEM merupakan suatu bidang ilmu yang menyepadukan pembelajaran bagi bidang Sains (S), Teknologi (T), Kejuruteraan (E) dan Matematik (M). Bagi mencapaikan hasrat penyepaduan tersebut, dua bidang lain iaitu bidang seni (Art - A) dan bacaan (Reading - R) turut terlibat secara tak langsung. Ini adalah untuk melahirkan murid / pelajar yang kreatif, imaginatif, inventif dan mempunyai nilai estetik dalam mengamplikasikan STEM semasa penyelesaian masalah dalam kehidupan.
Keperluan Kepada Pendidikan STEM
Selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0, bidang STEM merupakan bidang yang berkembang pesat di serata dunia. Ianya kini menjadi bidang perlu diberi perhatian bermula seawal peringkat sekolah rendah dan prasekolah lagi.
Rentetan daripada perkembangan pesat ini, lanskap perkerjaan pada masa-masa akan datang juga kian berubah. Berikut adalah bidang-bidang pekerjaan yang akan terus berkembang dan yang akan dijumudkan seiring dengan perkembangan bidang STEM.
Berdasarkan senarai pekerjaan dan bidang pekerjaan di atas, selaku guru kita haruslah melakukan transformasi bermula dalam diri kita. Kita berhadapan dengan generasi kini yang perlu dipersiapkan dengan pemikiran, pengalaman dan pengetahuan yang sewajarnya tentang STEM bagi membolehkan mereka menempuh masa hadapan mereka yang kian mencabar.
Justeru, sememangnya guru sebagai agen perubahan mempunyai suatu tugas yang berat untuk menyediakan murid-murid dan pelajar-pelajar di sekolah agar bersedia dengan perubahan yang bakal berlaku ini. Dan ingatkan menyediakan anak-anak didik kita dengan ilmu STEM ini tidaklah terletak atas bagu guru-guru Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik sahaja. Malah, ianya melibatkan semua guru di Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya.
Kenangan bersama-sama dengan rakan-rakan dan Tenaga Pengajar Utama yang hebat. |
Semoga bermanfaat untuk anda.