Panduan Untuk Menyambung Pengajian Master

0

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, pada tahun 2018 yang lepas, saya telahpun tamat pengajian Sarjana dalam bidang Sarjana Sastera (Pendidikan) dalam bidang Matematik. Banyak pengalaman yang telah dilalui sepanjang pengajian bermula September 2015 hinggalah Februari 2018. Justeru, pada entri kali ini ini ingin saya kongsikan beberapa panduan  untuk menyambung pengajian Sarjana (Master).   




Pengajian Master merupakan peringkat pengajian lanjutan setelah mengikuti pengajian peringkat Sarjana Muda (Degree). Pengajian di peringkat Sarjana Muda lebih tertumpu kepada kursus-kursus yang perlu diambil berkenaan bidang pengkhususan yang dipilih. Sebagai contoh, Sarjana Muda Pendidikan Matematik, pelajar akan mengambil kursus-kursus yang berkaitan bidang pendidikan Matematik. Dan para pelajar hanya mempelajari asas kepada penyelidikan untuk menyempurnakan projek akhir (final project). 

Berbeza pula pengajian di peringkat master yang menumpukan bidang penyelidikan secara lebih mendalam. Walaupun pemilihan bidang adalah Pendidikan Matematik misalnya, namun pelajar akan berpeluang mempelajari dengan lebih mendalam ilmu penyelidikan dalam bidang yang dipilih. Kebiasaannya dalam pengajian master, kursus Kaedah Penyelidikan (Research Methodology) dan Statistik Penyelidikan akan kursus wajib diikuti semasa mula mendaftar pengajian. 

Justeru, ingin saya kongsikan sedikit panduan untuk rakan-rakan yang baru ingin memulakan pengajian di peringkat master. Terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memulakan pengajian, antaranya ialah mod pengajian, pemilihan penyelia kajian dan pemilihan universiti. 


1. Mod Pengajian


Terdapat tiga mod pengajian yang boleh dipilih iaitu: 

  • Mod kerja kursus - pengajian yang berasaskan kursus seperti pengajian Sarjana Muda. Terdapat sejumlah jam kredit / unit yang perlu dihabiskan sepanjang pengajian,dan perlu hadiri sesi kuliah / tutorial seperti yang dijadualkan. Dalam pengajian mod ini, pelajar kebiasaannya akan didedahkan tentang kursus penyelidikan selain dari kursus-kursus bidang pengkhususan. Namun pada akhir pengajian, pelajar hanya perlu menghasilkan laporan kajian ringkas (projek akhir) yang lebih advance dari laporan projek akhir peringkat Sarjana Muda. Syarat bergaduasi bagi mod pengajian ini adalah mestilah lulus semua kursus termasuklah projek akhir Sarjana.

  • Mod penyelidikan - pilihan mod ini membolehkan pelajar mengikuti pengajian dengan hanya menghasilkan tesis tanpa terikat dengan jadual waktu kuliah / tutorial. Untuk pilihan mod ini, pelajar perlu berdisiplin tinggi dan merancang masa menyiapkan keseluruhan tesis secara sistematik. Untuk mendapatkan input tentang ilmu penyelidikan, pelajar perlu mencari sendiri kursus bersesuaian anjuran universiti / luar atau mendapatkan bimbingan penyelia kajian (supervisor). Syarat bergraduasi untuk mod pengajian ini adalah dengan tesis yang lulus ujian Viva-Voce (ujian lisan untuk mempertahankan tesis)

  • Mod campuran - mod gabungan kerja kursus dan penyelidikan. Mod pengajian ini membolehkan pelajar mengikuti separuh jam kredit untuk kursus berkaitan bidang pengkhususan dan penyelidikan, dan diikuti dengan disertasi (separa tesis). Dalam mod ini, universiti telah menetapkan kursus-kursus yang wajib diambil dan setelah selesai semua kursus, pelajar perlu menjalankan penyelidikan dan menulis disertasi. Syarat bergraduasi adalah lulus semua kursus dan lulus ujian lisan Viva-voce. 

Setelah mengetahui pilihan mod pengajian, para calon boleh memilih mod yang bersesuaian. Saya semasa menyambung pengajian master telahpun memilih mod campuran. Saya memilih mod ini kerana saya yakin mod campuran membolehkan saya belajar secara berstruktur dan menghasilkan disertasi dengan bimbingan langkah demi langkah. 

Disertasi yang telah dihasilkan semasa pengajian Master. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Prof. Madya Dr Chew Cheng Meng (penyelia program Mixed Mode) dan Prof. Munirah Ghazali (penyelia kajian) atas bimbingan menyiapkan tesis dengan jayanya.



2. Pemilihan Penyelia Kajian (Supervisor)

Selain tu, bagi yang memilih mod penyelidikan atau mod campuran, pemilihan Penyelia Penyelidikan adalah sangat perlu dititikberatkan. Hal ini sangat penting kerana Penyelia Kajian merupakan individu penting yang bakal menjayakan tesis / disertasi anda. Kebiasaannya, semasa mengisi borang permohonan peringkat Master, ada ruangan nama Penyelia Kajian. Justeru, para calon perlu membuat sedikit kajian tentang bakal Penyelia Kajian agar penghasilan disertasi / tesis berjalan lancar. Pada saya, pemilihan Penyelia Kajian ini wajar kerana kita membayar yuran untuk mendapatkan khidmat bimbingan yang sewajarnya. Namun, bagi yang memilih mod kerja kursus sepenuhnya, anda tidak perlu risau tentang penyelia kajian kerana anda tidak perlu menetapkannya memandangkan tiada disertasi / tesis yang perlu dihasilkan di akhir pengajian. Walau bagaimanapun kebiasaannya, projek penyelidikan perlu disediakan sebagai salah satu kursus yang diambil bagi melengkapkan Sarjana (mod kerja kursus). 

Terdapat universiti tertentu yang menyediakan direktori maklumat berkaitan dengan pensyarah yang boleh memberikan bimbingan. Sebagai contoh bagi calon pelajar USM, anda boleh melihat profil bakal penyelia anda di laman ini: DIRECTORY OF EXPERTISE (usm.my). Di dalam portal ini, kita boleh mencari bakal penyelian melalui fakulti ataupun menggunakan carian berdasarkan bidang pengajian yang dikehendaki. Berikut adalah contoh profil bakal penyelia yang boleh dilihat di portal tersebut:


Profil Penyelia Kajian saya semasa pengajian sarjana dahulu


Bagi universiti-universiti yang lain, anda boleh merujuk di dalam poral universiti masing-masing.



3. Pemilihan Universiti

Setelah tahu tentang mod pengajian, para calon bolehlah membuat pemilihan universiti yang bersesuaian. Terdapat banyak faktor yang membezakan antara universiti antaranya ranking, yuran pengajian, jarak dan sebagainya. Untuk pemilihan universiti, pilihlah yang bersesuaian dengan diri anda. Seperti saya, saya menyambung pengajian Master di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang yang merupakan universiti bertaraf APEX untuk memudahkan saya bergerak ke sana untuk mengikuti kuliah, tutorial dan sesi bimbingan bersama penyelia.


Jika ada yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kursus-kursus pengajian Master, boleh layari laman web rasmi IPTA / IPTS masing-masing. Kebiasaannya maklumat bagi pengajian peringkat pasca siswazah akan diletakkan di bahagian pusat pengajian pasca siswazah (postgraduate study). Berikut merupakan senarai pautan sebahagian Pusat Pengajian Pasca Siswazah di beberapa universiti di Malaysia:

  1. Universiti Sains Malaysia (USM) - IPS - HOME (usm.my)
  2. Universiti Utara Malaysia (UUM) - Universiti Utara Malaysia - Postgraduate (uum.edu.my)
  3. Universiti Malaya (UM) - INSTITUTE FOR ADVANCED STUDIES (IAS) (um.edu.my)
  4. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) - Programme - Postgraduate (iium.edu.my)
  5. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - Postgraduate | Official Portal of UKM
  6. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) - Home v5 | School of Graduate Studies (SPS) (utm.my)
  7. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) - Postgraduate Programs (unisza.edu.my)
  8. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) - Postgraduate — (umt.edu.my)
  9. Universiti Teknologi Mara (UiTM) - Home (uitm.edu.my)
  10. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) - UPSI | Institut Pengajian Siswazah
  11. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) - POSTGRADUATE (uthm.edu.my)
  12. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) - Graduate Studies – USIM | UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA
Mohon share dan tinggalkan komen di bawah. Terima kasih.

Semoga bermanfaat untuk anda.

Cikgu Ridzuan Al-Kindy

Tags

Catat Ulasan

0 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Catat Ulasan (0)

#buttons=(Accept !) #days=(365)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !
To Top