Tips Persediaan Temuduga Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) KPM

0

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Setiap guru dalam perkhidmatan semestinya ada hasrat untuk mengambung pengajian dengan tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Begitu juga dengan saya. Alhamdulillah, saya telah dikurniakan rezeki mendapat tajaan biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) bagi tahun 2022. Justeru, berbekalkan pengalaman yang saya lalui, pada kali ini ingin saya kongsikan secebis pengalaman melalui proses temuduga HLP 2022. 


Sebenarnya, tahun 2022 bukanlah tahun pertama saya memohon tajaan HLP. Ini merupakan tahun kelima saya memohon sejak menamatkan pengajian Sarjana pada awal tahun 2018. Akhirnya pada tahun 2022, permohonan dan doa saya terjawab apabila dipanggil temuduga HLP pada Mac 2022 yang lepas. 


Tips Persediaan Temuduga HLP KPM

Sebagai calon yang tersenarai pendek dan dipanggil temuduga, terdapat beberapa persiapan penting yang perlu dilakukan bagi melancarkan proses temuduga akan akan dijalankan nanti. Temuduga untuk pemilihan calon HLP adalah anjuran Bahagian Tajaan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Justeru, sebagai calon temuduga, arahan dan panduan yang diberikan kepada calon temuduga sewajarnya diambil cakna oleh semua calon. Berikut merupakan tips yang saya boleh kongsikan berdasarkan pengalaman peribadi saya yang tidak mewakili mana-mana pihak lain mahupun Bahagian Tajaan Pendidikan, KPM sendiri. Antaranya ialah:

1. Mendapatkan dokumen panduan calon temuduga

Antara langkah terawal setelah anda membuat semakan di portal e-Penawaran, anda perlulah membaca arahan kepada calon dan memuat turun kesemua dokumen yang dilampirkan. Arahan yang diberikan adalah bertujuan bagi memberi panduan kepada calon temuduga tentang prosedur tertentu yang perlu dipatuhi. 

Selain itu, calon perlu mencetak kesemua dokumen yang dimapirkan, antaranya adalah Surat Panggilan Temuduga, Panduan Kertas Cadangan (Proposal) dan Senarai Semak Dokumen untuk Temuduga. Sila langkapkan kesemua dokumen tersebut sebelum dibawa ke sesi temuduga yang dijadualkan. Calon juga perlu menjawab ujian psikometrik dalam tempoh yang diberikan seperti yang tercatat dalam arahan kepada calon.



2. Menyediakan dan menguasai proposal penyelidikan

Calon juga sebelum menghadiri temuduga perlulah menyediakan proposal atau kertas cadangan penyelidikan mengikut format yang dinyatakan dalam dokumen Panduan Penyediaan Kertas Cadangan. Semestinya bidang kajian yang dicadangkan perlulah bersesuaian dengan bidang yang dipohon oleh calon. Misalnya bidang yang dipohon adalah Pendidikan Teknologi, maka proposal kajian yang perlu disediakan mestilah dalam bidang tersebut. Namun, ianya boleh diintegrasikan dengan elemen pedagogi / mata pelajaran tertentu mengikut kesesuaian. Selain itu, proposal yang disediakan juga perlu mencerminkan peringkat pengajian yang dipohon. Secara umumnya, terdapat sedikit perbezaan antara proposal kajian untuk peringkat Sarjana dan Kedoktoran. Kebiasaannya proposal kajian untuk peringkat Kedoktoran adalah lebih mendalam dan terperinci berbanding proposal kajian peringkat Sarjana. 

Garis panduan ini adalah keluaran Mac 2022. Pihak Bahagian Tajaan Pendidikan akan mengemaskini garis panduan mengikut tahun semasa. Sila rujuk portal e-Penawaran untuk maklumat terkini.

    Selain menyediakan proposal, calon juga perlu menguasai proposal tersebut. Calon pada hari temuduga nanti perlu membentangkan proposal kajian dan akan ditanya tentang proposal tersebut yang merangkumi elemen latar belakang dan permasalahan kajian, objektif kajian, teori kajian, kerangka kajian, reka bentuk kajian, persampelan, instrumen kajian dan mungkin analisis yang dicadangkan dalam kajian. Panel temuduga juga mungkin akan bertanyakan tentang sebahagian ataupun keseluruhan proposal bagi melihat sejauh mana calon yakin dan bersedia dengan proposal yang dicadangkan. Calon perlu bersedia dengan soalan seperti mengapa reka bentuk kajian ini dipilih, atau mungkin ditanya dengan lebih terperinci tentang reka bentuk kajian tersebut. Justeru, pengalaman menyediakan proposal sendiri dengan pembacaan dari pelbagai sumber jurnal ataupun sumber rujukan lain adalah sangat bermakna dan akan membantu calon semasa temuduga. Sebagai tips tambahan, calon perlu mencetak proposal untuk diberikan kepada panel penemuduga (biasanya 3 orang panel).

3. Menyediakan dokumen utama, dokumen dan bahan sokongan

Selain daripada proposal, calon juga perlu menyediakan dokumen-dokumen yang disenaraikan dalam senarai semak yang dimuat turun. Dokumen ini merangkumi kad pengenalan, sijil-sijil akademik dan ikhtisas, surat pelantikan, pengesahan pelatikan, kenaikan gred, markah prestasi PBPPP dan lain-lain dokumen yang dinyatakan. Setiap dokumen tersebut perlulah disusun mengikut turutan seperti dalam senarai semak bagi memudahkan panel membuat semakan pada hari temuduga.

        Selain itu, dokumen sokongan seperti sijil / surat akuan untuk penglibatan dan penulisan yang diisi dalam borang permohonan online sebelum ini perlulah dipamerkan. Sijil / surat akuan / bahan sokongan tambahan juga boleh disediakan yang mungkin akan sedikit sebanyak membantu calon dalam bilik temuduga. Sesi temuduga diibaratkan seperti proses promosikan diri untuk dipilih oleh panel penemuduga. Justeru, pamerkan kebolehan / kelebihan / projek yang pernah dibuat / bahan yang berkaitan untuk meningkatkan kredential anda sebagai calon berbanding calon lain. 

Fail sijil / dokumen yang disusun mengikut senarai semak

4. Sediakan Slaid Persembahan PowerPoint Proposal yang Ringkas dan Padat

Bagi calon peringkat Kedoktoran, calon perlu menyediakan slaid persembahan PowerPoint (5 slaid yang merangkumi keseluruhan proposal). Untuk memudahkan calon membentangkan proposal dengan berkesan, penyediaan slaid persembahan juga perlu dititik beratkan. Slaid perlulah ringkas dan padat dengan maklumat yang betul-betul penting berkaitan kajian. Panduan penyediaan slaid ada disertakan dalam dokumen panduan yang diberikan kepada calon temuduga. Untuk memudahkan rujukan panel penemuduga, calon boleh juga mencetak salinan slaid untuk diedarkan kepada panel.

Slaid perlu disediakan merangkumi keseluruhan proposal. Gunakan the power of point dalam slaid, elakkan ayat panjang. 


5. Hadir Awal Pada Hari Temuduga

Pada hari temuduga, calon digalakkan hadir awal ke tempat temuduga. Seperti sebelum ini, sesi temuduga dibahagikan kepada dua sesi; sesi pagi dan sesi petang. Pada awal setiap sesi, urusetia akan mengumpulkan calon di bilik menunggu untuk memberi taklimat awal dan meminta calon menyemak dokumen mengikut senarai semak. Selain tu, calon juga akan dimaklumkan giliran dan nombor bilik temuduga. Justeru, kehadiran awal calon sangatlah membantu calon agar lebih bersedia. Calon walau bagaimanapun masih lagi boleh membaca nota / membuat persiapan terakhir di bilik menunggu sebelum dipanggil ke bilik temuduga yang ditetapkan.

Taklimat awal oleh urusetia

6. Elakkan Berbincang Tentang Proposal dengan Calon Lain

Tips yang kelima ini adalah berdasarkan pandangan peribadi saya sendiri. Calon dicadangkan untuk tidak membincangkan tentang proposal kajian dengan calon yang lain. Hal ini disebabkan setiap calon menyediakan proposal mengikut bidang yang dipohon dengan cara dan pemahaman yang tersendiri. Proposal yang disediakan juga telah siap dicetak dan dipindahkan ke dalam slaid persembahan PowerPoint. Dikhuatiri, perbincangan pada saat-saat akhir sebelum masuk bilik temuduga boleh menggoyahkan keyakinan calon sendiri yang mungkin merasakan proposal calon lain lebih baik daripada proposal sendiri. Hal ini akan mengganggu fokus calon terhadap proses temuduga.

        Justeru, perbincangan tentang proposal kajian sebelum masuk ke bilik temuduga wajar dielakkan. Namun, untuk sekadar bertanya tajuk, atau skop kajian proposal rakan yang turut hadir temuduga tidaklah menjadi permasalahan. Cuma, jangan terlalu mendalam hingga membandingkan kedua-dua proposal. Ingat, kita berusaha untuk menulis proposal dengan cemerlang dengan rujukan daripada pelbagai sumber rujukan. Jadi, yakinlah kepada kemampuan diri sendiri.

Sempat bergambar sebelum masuk ke bilik temuduga

Bagi yang beragama Islam, bolehlah amalkan doa-doa yang bersesuaian untuk mengurangkan gemuruh dan diberikan kelapangan hati dan minda. Berikut adalah doa yang sempat dikongsikan oleh rakan Admin Digital Classroom, Cikgu Amirah Salim. Terima kasih atas perkongsian yang bermanfaat.


Antara doa yang boleh diamalkan. 

---------

Demikianlah 6 tips untuk persediaan menghadiri temuduga HLP. Diharapkan agar tips yang dikongsikan dapat membantu anda menyediakan diri untuk temuduga HLP. Semoga berjaya buat anda semua. 

Semoga bermanfaat untuk anda.

Cikgu Ridzuan Al-Kindy

Catat Ulasan

0 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Catat Ulasan (0)

#buttons=(Accept !) #days=(365)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !
To Top