Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Selamat datang saya ucapkan kepada semua pembaca blog Cikgu Ridzuan Al-Kindy.
Pertama sekali, ingin saya ucapkan selamat datang kepada para pembaca sekalian. Ini merupakan blog terbaru daripada saya setelah blog lama saya telah diblok dan removed oleh Google kononnya telah melanggar community guidelines yang telah ditetapkan. Sedangkan saya hanya menulis dan berkongsikan tentang pengalaman dan berkongsi bahan dengan para pembaca. Saya hanya sedar apabila blog tersebut tidak lagi boleh diakses bermula 26 Julai 2021.
Sememangnya saya sangat sedih kerana aktiviti blog ini telah saya mulakan seawal tahun 2010 lagi ketika masih lagi bergelar mahasiswa guru di IPG. Banyak penulisan saya yang telah saya coretkan dalam blog sebelum ini. Walaupun penulisan tersebut tidaklah sebaik penulis terkemuka, setidak-tidaknya ianya suatu coretan peribadi yang saya sangat sayang. Kadang-kadang saya buka dan baca semula coretan tersebut untuk mengimbau kembali nostalgia bersama rakan taulan. Namun, apakan daya, blog tersebut telah hilang ghaib begitu sahaja.
Justeru, saya mengambil inisiatif untuk membangunkan blog yang lain pula agar saya dapat meneruskan perkongsian tentang bidang pendidikan. Saya ada cuba merekabentuk blog menggunakan platform yang lain seperti WordPress, WixSite dan Site123. Namun, mungkin kerana sudah terbiasa dengan platform Blogger yang mesra HTML, saya membuat keputusan untuk kekal menggunakan platform Blogger untuk blog yang baru ini.
Doakan semoga perjalanan saya sebagai penulis blog ini berjaya dan memberi manfaat sebanyaknya buat pembaca di luar sana.
Terima kasih atas sokongan anda.